Perkara Penting

Perkara penting yang perlu diambil perhatian apabila membeli perlindungan insurans motor

Nilai diinsuranskan/jumlah diinsuranskan

Sekiranya anda membeli polisi untuk melindungi kerugian/ kerosakan kepada kenderaan anda, anda perlu memastikan bahawa kenderaan anda telah diinsuranskan secukupnya kerana ini akan memberi kesan ke atas jumlah yang anda boleh tuntut sekiranya berlaku kerugian/ kerosakan. Bagi kenderaan baru, jumlah diinsuranskan adalah harga beli manakala bagi kenderaan lain, nilai diinsuranskan adalah nilai pasaran kenderaan tersebut semasa anda memohon polisi insurans.

Terkurang insurans – Sekiranya anda menginsuranskan kenderaan anda pada nilai yang lebih rendah daripada nilai pasaran, anda akan dianggap menginsuranskan sendiri perbezaan nilai tersebut, iaitu, jika berlaku kerugian/ kerosakan, anda akan hanya dibayar sebahagian ganti rugi (setakat bahagian yang diinsuranskan) oleh syarikat insurans anda.

Terlebih insurans – Sekiranya anda menginsuranskan kenderaan anda pada jumlah yang lebih tinggi daripada nilai pasaran, pembayaran ganti rugi maksimum yang akan anda terima adalah nilai pasaran kenderaan tersebut kerana pemegang polisi tidak boleh ‘mendapat keuntungan’ daripada tuntutan insurans motor.

Kewajipan pendedahan

Anda perlu mendedahkan sepenuhnya semua fakta penting, termasuk tentang kemalangan sebelumnya (jika ada), pengubahsuaian kepada enjin dan lain-lain. Sekiranya anda ragu-ragu sama ada sesuatu fakta itu relevan atau tidak, adalah lebih baik bertanya kepada syarikat insurans anda. Sekiranya anda gagal mendedahkan mana-mana fakta penting, syarikat insurans anda berhak menolak tuntutan anda dan sebarang tuntutan yang dibuat oleh pihak ketiga terhadap anda. Dalam kes sedemikian, anda sendiri adalah bertanggungjawab terhadap tuntutan tersebut.

Harga

Harga yang anda bayar untuk insurans motor bergantung kepada jenis polisi yang dipilih. Premium insurans yang dikenakan oleh syarikat insurans anda adalah kadar minimum yang standard menurut Tarif Motor. Walau bagaimanapun, sebagai tambahan kepada kadar minimum yang standard, syarikat insurans anda mungkin mengenakan premium tambahan yang dipanggil bebanan premium kepada premium yang perlu dibayar. Ini disebabkan faktor risiko yang terlibat adalah lebih tinggi seperti usia kenderaan dan pengalaman tuntutan. Bebanan premium dikawal oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan syarikat insurans tidak boleh mengenakan bebanan premium yang lebih tinggi daripada kadar yang dibenarkan oleh BNM.

Diskaun tiada tuntutan

Premium yang perlu dibayar boleh dikurangkan sekiranya anda mempunyai kelayakan diskaun tiada tuntutan [‘no-claim-discount’ (NCD)]. NCD adalah satu skim ‘hadiah’ kepada anda sekiranya tiada tuntutan dibuat terhadap polisi anda dalam tempoh 12 bulan sebelum itu. Kadar NCD yang berlainan adalah dikenakan bagi kelas kenderaan yang berlainan. Bagi kereta persendirian, skala NCD adalah di antara 25% hingga 55% seperti yang dinyatakan di dalam polisi.

Ekses

Juga dikenali sebagai ‘deduktibel’. Jumlah kerugian ini perlu anda tanggung sebelum syarikat insurans anda membayar baki tuntutan kerosakan kenderaan anda. Jenis-jenis ekses adalah seperti berikut:

• Ekses wajib sebanyak RM400 – sekiranya kenderaan anda dipandu oleh seseorang yang bukan dinamakan di dalam polisi atau seseorang yang dinamakan di dalam polisi tetapi di bawah umur 21 tahun, pemegang lesen memandu sementara (L) atau pemegang lesen memandu penuh yang kurang dari dua tahun.

• Ekses lain – dikenakan mengikut budi bicara syarikat insurans anda dan dalam sesetengah kes, tiada sebarang ekses yang dikenakan. Anda boleh berunding dengan syarikat insurans anda berhubung dengan ekses ini.

One thought on “Perkara Penting

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *